Thursday, December 16, 2010

Latar Belakang Matrikulasi

Program Matrikulasi merupakan satu program persediaan bagi pelajar bumiputera untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi dan perakaunan. Sebelum ini program matrikulasi telah dikendalikan oleh beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lebih 30 tahun yang lalu dengan cara dan corak pelaksanaan yang berbeza. Hasil dari program ini telah melahirkan banyak cendekiawan dan tenaga mahir bumiputera dalam bidang profesional.

BMKPM telah mengambil kumpulan pertama (perintis) bagi pelajar matrikulasi daripada kalangan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pada awal tahun 1999. Pelajar-pelajar ini telah ditempatkan di Kolej Yayasan Pelajaran MARA, Bangi, Selangor.
Kolej Matrikulasi Melaka dan Kolej Matrikulasi Labuan telah membuat pengambilan pertama pada bulan Julai 1999. Tiga buah kolej yang lain telah mulai beroperasi pada tahun 2000 iaitu Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dan Kolej Matrikulasi Perlis. Pada sesi 2002/2003, Kolej Matrikulasi Perak dan Kolej Matrikulasi Johor telah membuat pengambilan yang pertama. Kolej Matrikulasi Kedah dan Kolej Matrikulasi Pahang pula mula beroperasi pada sesi 2003/2004. Tiga buah kolej teknikal iaitu Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang, Kolej Matrikulasi Johor dan Kolej Matrikulasi Kedah telah beroperasi mulai tahun  2009.  Sebuah kolej di Banting, Selangor iaitu Kolej Matrikulasi Selangor akan beroperasi mulai tahun 2010.  Dua kolej MARA iaitu Kolej MARA Kulim dan Kolej MARA Kuala Nerang turut mengendalikan program ini sehingga hari ini.
IPTA terlibat secara langsung dengan penggubalan kurikulum program matrikulasi, penggubalan soalan peperiksaan, penaksiran soalan peperiksaan dan pemeriksaan kertas jawapan peperiksaan. Oleh itu pengambilalihan Program Matrikulasi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berupaya mengawal kualiti dan memenuhi keperluan kuantiti pelajar bumiputera untuk menyediakan pelajar yang lebih berdaya saing dan beriltizam untuk mengikutii program ijazah pertama di IPTA.

No comments:

Post a Comment